Tuesday, November 30, 2010

Manusia Kerap Lupa Janji Tak Ulang Maksiat






AL-IMAM Ibnu Al-Qayyim dalam kitabnya Al-Daa’ wal Dawaa’ berkata: “Kegembiraanmu dengan perbuatan dosa, tertawamu ketika melakukan dosa, kesedihanmu saat tidak dapat melakukan dosa, kesungguhanmu menutupi aib akibat dosa dan hatimu yang tidak boleh gementar ketika Allah memandang dosamu, semua itu lebih berat di sisi Allah melebihi timbangan dosa itu.”

Betapa mudahnya kita melupakan dosa sedangkan Allah merekodkan segala-galanya untuk sidang perbicaraan di akhirat. Bukankah sudah sampai kepada kita firman Allah mengenai nasib manusia yang mudah melupakan dosanya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan diletakkanlah kitab, lalu kamu akan melihat orang bersalah ketakutan terhadap apa yang tertulis di dalamnya, dan mereka berkata: Aduhai celaka kami, Kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya; dan mereka dapati apa yang sudah mereka kerjakan ada tertulis dan Tuhanmu tidak menganiaya seorang juga pun.” (Surah al-Kahfi, ayat 49)

Mengapa manusia selalu mengulangi dosanya selepas bertaubat? Apakah kerana syaitan lebih bijak menyelewengkan mereka dengan hujah bahawa Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun? Lalu mengapa orang bodoh itu tidak berfikir apakah tujuan diciptakan neraka jika mereka semua kononnya boleh masuk syurga dengan cara mempermain-mainkan pengampunan Allah ?

Orang yang benar-benar beriman tidak akan terjerumus ke dalam lubang sama dua kali dan orang yang benar yakin dengan perhitungan hari akhirat pasti berusaha menjadikan hari ini lebih baik daripada kelmarin dari segi peningkatan ilmu, iman dan ibadat.

Jadi panggilan apakah yang paling sesuai bagi mereka yang selepas bertaubat selalu berbuat dosa kembali secara berulang? Agaknya mereka ini sesuai dipanggil dengan sebutan hamba Allah yang tidak tahu malu.

Seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham: “Wahai Imam, aku ingin bertaubat dan meninggalkan dosa tetapi aku selalu mengulangi dosaku, tunjukkanlah kepadaku jalan yang mencegah aku bermaksiat lagi kepada Allah .”

Ibrahim bin Adham berkata: “Jika engkau ingin bermaksiat janganlah engkau melakukannya di atas bumi milik Allah ini. Lelaki itu bertanya: Lalu di manakah aku boleh melakukannya? Ibrahim bin Adham menjawab: Keluarlah dari bumi-Nya. Dan jika engkau masih ingin melakukan maksiat, jangan makan rezeki kurniaan-Nya. Lelaki itu bertanya: Bagaimana aku boleh hidup tanpa rezeki daripada-Nya? Ibrahim berkata: “Tidakkah engkau rasa malu hidup di atas bumi-Nya dan makan daripada rezeki-Nya kemudian melakukan maksiat kepada-Nya?”
Mengapa ramai hamba Allah yang sudah bertaubat di hadapan Kaabah, disaksikan masjid Rasulullah SAW di sisi makamnya, dengan lelehan air mata yang menyesakkan dada tetapi dengan sekelip mata mengulangi kembali perbuatan maksiat dan melupakan janji setia kepada Allah yang diikat di lehernya?

Dia ditipu oleh hasutan syaitan yang memanjangkan angan-angan bahawa dengan hartanya dia boleh 10 kali lagi mengerjakan haji dan menambah amal salih. Tetapi dia lupa sihat dan sakit, ajal dan maut di tangan Allah yang tidak mungkin dibeli dengan harta dan kedudukannya.

Bagaimana jika Allah mencabut nyawanya dalam keadaan dia bermaksiat?

Begitu pula ketika seseorang ditimpa musibah, serta-merta dia ingat kepada Allah dan cepat bertaubat, tetapi dengan sedikit saja harta dan keuntungan yang Allah tambahkan, dia sudah pun lupa dan lalai kerana tidak tahan dengan ujian harta itu, akhirnya dia bermaksiat kembali tanpa rasa malu.

Jelaslah betapa pentingnya seorang hamba memiliki rasa malu kepada Allah supaya dia sentiasa berada dalam keadaan sedar dan terjaga mata hatinya, tidak tidur dan lalai dibius oleh kemaksiatan yang bermaharajalela.

Bagaimanakah cara menumbuhkan rasa malu kepada Allah ?

  • Ingatlah kurniaan Allah .
Kadangkala Allah merahmati hamba-Nya dengan mengirimkan ilham ke dalam hati yang terdetik secara tiba-tiba. Pernahkah kita rasai kurniaan Allah itu semakin banyak dilimpahkan seiring semakin tebalnya buku catatan dosa yang kita lakukan?

Mengapa Allah membalas dosa itu dengan rezeki yang semakin banyak, pujian manusia yang semakin melambungkan nama, jawatan semakin kukuh, kehidupan meningkat sejahtera padahal dosa dibuat berganda-ganda banyaknya?

Orang yang mendapat keuntungan dunia hendaklah selalu mengingati firman Allah yang bermaksud:

“Barang siapa yang menghendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, nescaya Kami berikan kepada mereka balasan pekerjaan mereka di dunia dengan sempurna dan mereka di dunia itu tidak akan dirugikan. Itulah orang yang tidak memperoleh di akhirat, kecuali neraka dan lenyaplah di akhirat itu apa yang mereka usahakan di dunia dan sia-sialah apa yang mereka kerjakan.” (Surah Hud, ayat 15-16)

Ayat itulah yang menyebabkan Amirul Mukminin Muawiyah bin Abu Sufyan menyungkurkan mukanya ke tanah lalu beliau menangis saat menghadapi sakaratul maut sambil mengulang-ulangi bacaan ayat berkenaan.

Mengapa Allah tidak terus menyeksa manusia pada kali pertama dia mengulangi dosanya, lalu dicabut rezeki dan keberuntungan daripada hidupnya, ditimpa musibah dan diazab secara langsung tanpa bertangguh?

Maha Suci Allah yang sentiasa memberi peluang untuk manusia mengingati kurniaan-Nya. Dialah Allah yang melimpahkan nikmat supaya mereka bersyukur dan kembali pulang, Dia menangguhkan seksa kerana sayang kepada kita sedangkan orang yang berdekatan dengan kita terkena bala dan musibah. Fikirkanlah ilham yang hadir dalam hati. Belumkah lagi muncul hati yang malu milik hamba Allah yang beruntung ini?

Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, mengapa Baginda melakukan solat malam sehingga kaki Baginda bengkak sedangkan Allah sudah menyucikan dirinya? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:“Tidak bolehkan aku menjadi hamba yang bersyukur kepada Tuhanku?” (Hadis riwayat al-Bukhari)
  • Telitilah aib diri.
Ada seorang hamba yang berangan-angan masuk syurga dengan membawa sembahyang yang dilakukan dengan lalai hingga habis waktu, puasa yang perisainya dikoyakkan dengan dengki, pertengkaran dan perbuatan keji, haji yang dilakukannya tanpa reda dan hilang sabar, kering ilmu dan kosong amal.

Dia mahu mengetuk pintu syurga dengan tangannya yang berlumuran darah kerana mengambil hak saudaranya, menjerit minta diizinkan masuk padahal mulutnya masih berbau bangkai mayat saudaranya yang diumpat, matanya mengintai-intai taman syurga tapi kabur oleh gelapnya bayang-bayang zina mata yang pernah dilakukannya ketika melayari web lucah, khidmat pesanan ringkas (SMS) mesra dan jenayah seksual yang ditatapi setiap hari.

Jika tidak juga rasa malu melihat kekotoran diri, sekurang-kurangnya malulah bila melakukannya secara terang-terangan. Apa akan jadi dengan dunia ini apabila semua manusia berbuat maksiat secara terbuka dan tiada seorangpun memiliki rasa malu melakukannya.

Rosaklah masyarakat yang tenggelam dalam kebatilan apabila tiada yang menegakkan amar makruf nahi mungkar di kalangan mereka. Kemaksiatan dan kejahatan manusia yang berakhir dengan kehancuran, semuanya bermula daripada hilangnya rasa malu.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya jika Allah mahu menghancurkan seorang hamba-Nya, pasti Dia mencabut rasa malu dalam dirinya, jika dicabut rasa malu, maka kamu tidak akan menjumpainya melainkan orang itu membenci dan dibenci. Apabila kamu tidak menjumpainya kecuali ia membenci dan dibenci, dicabutlah rasa amanah daripadanya, maka jika dicabut rasa amanah, kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati kemudian jika kamu tidak menjumpainya kecuali ia khianat dan mengkhianati, dicabutlah kasih sayang daripadanya, jika kasih sayang dicabut maka kamu tidak menjumpainya melainkan ia dikutuk dan dilaknat, akhirnya dicabutlah ikatan keislaman darinya.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
  • Lihatlah iman dan amal orang lain.
Apabila seorang hamba berasa dirinya berada di bawah titik paling rendah dalam kadar hitungan imannya, hendaklah ia melihat kepada ketinggian iman orang lain di sekelilingnya. Perhatikan hamba Allah yang khusyuk berdoa sambil menangis, walaupun hati ini keras tak tembus dengan tangisan tetapi sekurang-kurangnya kita mahu menangisi diri sendiri kerana tidak boleh menangis.

Betapa malunya membandingkan kejahilan diri kita dengan ulama, kemalasan kita dengan orang yang ihsan, riak yang terpalit di hati ini bandingkanlah dengan sifat ikhlas yang menghiasi jiwa orang lain.

Orang kaya yang bersedekah satu gantang berasa malu melihat orang miskin boleh bersedekah 10 kali ganda daripadanya. Semua orang mukmin yang mulia akhlak dan kuat ibadatnya serta luas kefahaman ilmunya menjadi teladan untuk kita.

Pandanglah mereka dengan penghormatan dan kemuliaan dan segera bandingkan dengan diri sendiri, di manakah silapnya kita yang tidak setaraf iman dengan mereka. Jika mereka umpama bintang, kita pula hanya lilin kerdil yang kerjanya hanya membakar diri saja.

Di antara orang yang malu dengan yang tak tahu malu, amat jauh beza pada pandangan manusia apatah lagi jika Allah yang memandangnya.

Teguran Itu Penting





Orang yang dapat menegur orang lain adalah orang yang sedia menerima teguran orang lain

Ayat diatas adalah antara kata-kata cerdik pandai mengenai orang yang menegur dan ditegur. Teguran boleh berlaku di mana-mana, berlaku di dalam pemerintahan kerajaan, di dalam syarikat-syarikat, di dalam persatuan-persatuan, di sekolah. Dalam rumahtangga juga berlaku, bapa menegur anak, isteri ditegur suami, dan lain-lain. Makna katanya teguran itu berlaku di mana-mana sahaja.

Membina dan Meroboh

Teguran boleh dibahagi kepada dua secara asasnya, teguran yang membina dan yang statik dan jumud. Manusia keseluruhannya mengharapkan teguran yang membina bukan yang statik. Tetapi tidak kurang juga yang tidak lansgsung suka ditegur.

Sifat manusia yang diketahui ialah, hanya bersedia ditegur apabila dia yang membutuhkan teguran tersebut. Contohnya, Si A pergi ke Si B dan ingin meminta teguran atau nasihat, ketika itu apa sahaja yang dikatakan oleh Si B akan di dengari dengan berlapang dada.

Lain pula sekiranya seseorang yang tidak membutuhkan teguran, tiba-tiba ditegur. Hanya setengah orang yang berjiwa besar sahaja yang boleh menerima teguran spontan tersebut, Manakala yang berjiwa kecil, akan terasa dan terus terseksa hati.

Orang yang Menegur

Manusia memang tidak pernah lari daripada melakukan kesalahan, yang berbeza hanya banyak dan sedikit. Tetapi biarlah orang yang cuba menegur tersebut adalah orang yang minimum kesalahannya supaya teguran yang diberikan itu bersifat trully dan hidup.

Jangan jadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Sesuatu yang agak pelik apabila penagih dadah tegar mengajar atau menegur orang lain pergi ke masjid, walhal mereka sendiri masih terkontang kanting ditepi longkang dalam kotak.

Sebab itu kalau kita suka menegur, kita mesti pastikan teguran itu di tuju ke arah kita terlebih dahulu, kemudian baru ke orang lain.

Orang yang Ditegur 

Teguran itu kebiasaannya bersifat membina, kerana apa yang tidak kita sedar kadang-kadang orang lain sudah sedar terlebih dahulu, persepsi kita lain, persepsi orang, lain. Sebab itu apabila ditegur, jangan terlalu cepat melenting dan menolak teguran tersebut. Kalau begitu, anda adalah orang paling rugi, kerana anda berpeluang membina diri anda tetapi awal-awal lagi anda sudah merobohkannya.

Kata Hukama, "Orang biasa akan marah apabila dikritik oleh orang lain, manakala orang yang mulia ialah mereka yang memperbaiki diri daripada kritikan orang lain. Seharusnya begini lah resam kehidupan kita".

Manusia memerlukan 'cermin' bagi bagi meneliti diri. Orang disekeliling adalah cermin bagi kita. Cuba bayangkan anda bercukur misai tanpa bercermin. Bukankah susah?.

Yang Paling Penting

Setiap orang yang menegur pasti sedia juga ditegur. Ramai yang tidak mampu lakukan ini. Hanya suka menegur tetapi tidak pula suka ditegur. Sebab itu penting apabila menegur isyaratkan terlebih dahulu, teguran itu adalah terlebih dahulu untuk diri sendiri.

Ingat! Apabila anda menuding jari terhadap kesilapan orang lain, sebenarnya 3 jari anda telah menuding kepada diri anda sendiri. Itu adatnya.



Monday, November 29, 2010

Bahaya Fitnah








Penyebaran fitnah mudah berlaku dalam era teknologi komunikasi moden sekarang. Kemudahan khidmat pesanan ringkas (SMS), laman web dan emel membolehkan penyebaran maklumat tanpa memerlukan bertemu secara berdepan, lebih mudah, cepat, meluas dan murah. Teknologi yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah. Penyebaran fitnah melalui SMS yang berleluasa memaksa kerajaan menetapkan peraturan semua pemilik kad prabayar didaftarkan.
Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan berita berunsur fitnah. Wajib bagi Muslim menghalusi setiap berita diterima supaya tidak terbabit dalam kancah berita berunsur fitnah. Sebarang berita diterima perlu dipastikan kesahihannya. Kebijaksanaan dan kewarasan fikiran amat penting digunakan bagi memastikan tidak terpedaya dengan berita berunsur fitnah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)
Banyak pihak yang turut terbabit menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai sebarang kepentingan berkaitannya. Tetapi, disebabkan amalan menyebar fitnah sudah menjadi kebiasaan, banyak yang turut menyertainya dan seperti mendapat kepuasan daripada perbuatan itu. Fitnah biasanya disebarkan bertujuan memburukkan individu atau kumpulan. Pada masa sama, perbuatan itu dapat menonjolkan dirinya sebagai lebih baik dan lebih layak berbanding orang yang diburukkan itu.
Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.
Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.
Penyebar khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang, maklumat yang belum sahih itu sudah hilang dan kemudian disebarkan seperti berita benar. Dalam Islam, sesuatu berita benar tetap tidak boleh disebarkan jika orang yang berkaitan cerita itu tidak mahu ia disebarkan kepada orang lain. Menyebarkan berita benar tetap dilarang, inikan pula menyebarkan berita tidak benar.
Imam Ghazali dalam buku Ihya Ulumuddin menjelaskan perbuatan membocorkan rahsia orang lain dan menjejaskan kehormatannya dengan cara membuka rahsianya yang tidak mahu diketahui orang lain dianggap sebagai perbuatan mengadu-domba dan fitnah. Mengenai berita benar dan berita tidak benar yang disebarkan tanpa kebenaran atau kerelaan orang berkaitan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.” (Hadis riwayat Abu Hurairah)
Larangan mencari dan membocorkan rahsia orang lain jelas dilarang Allah seperti dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang lain.” (Surah al-Hujurat, ayat 12). Justeru, setiap Muslim perlu bijak menilai sesuatu berita bagi mengelak daripada menerima dan kemudian menyebarkan sesuatu berita berunsur fitnah.
Perkara pertama perlu diberi perhatian untuk memastikan kesahihan berita ialah memastikan sumber berita itu, yakni siapakah yang mula menyebarkan berita dan rantaian orang yang membawa berita itu. Umat Islam tentu tidak lupa pada sejarah menyebabkan kematian khalifah ketiga kerajaan Islam di Madinah iaitu Uthman Affan, yang berpunca daripada fitnah disebarkan kumpulan ekstremis agama.
Penyebaran fitnah turut menjadi penyebab kepada peperangan sesama Islam atau perang saudara ketika zaman pemerintahan Saidina Ali dan zaman selepas itu. Fitnah juga meruntuhkan kekuatan Bani Umaiyah malah, sejarah kejatuhan empayar besar kerajaan Melayu Melaka tidak terkecuali kerana fitnah. Ubat bagi penyakit hati ialah dengan memperbanyakkan taubat dan selalu berzikir.
Fikir-fikirkanlah, sebelum menghantar e-mel atau SMS. Jika masyarakat Islam sendiri boleh berperang sesama sendiri kerana fitnah, apatah lagi masyarakat majmuk? Jika benar sekalipun beberapa berita, tetapi jika menyebarnya tanpa konteks ia seolah-olah menyiram minyak di atas bara api.

Sunday, November 28, 2010

10 PETANDA DIA JODOH KITA.......


 Firman Allah SWT, bermaksud "Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu" (Surah Muhammad, ayat 7)

Gunakan seluruh pancaindera

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan aka untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.

1.Bersahaja

Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh kita.

2.Senang bersama

Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit kehilangan.

3.Terima kita seadanya

Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia menjadi pasangan hidup kita.

4.Sentiasa jujur

Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah sebaik-baik pilihan.


5.Percaya Mempercayai

Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh kedua-duanya.

6.Senang Bekerjasama

Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah ini menyusahkan?

7.Memahami diri kita

Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang surut dalam percintaan. Kata orang, "lidah sendiri lagikan tergigit", inikan pula suami isteri'. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai menjadi pasangan hidup kita.

8.Tampilkan kelemahan

Tiada siapa yang sempurna di dunia ini. Tipulah jika ada orang yang mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak menghalang kita daripada melawatnya.Apabila kita dan dia saling menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan kita hidup bersamanya.

9.Kata hati

Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Allah deria keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat menduga reaksi dan tindakbalas pada situasi tertentu. Apabila kita yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.

10.Solat Istikharah dan Tawakkal

Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Allah SWT. Manusia hanya perancang di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk melalui mimpi atau gerak hati. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan sembahyang Istikharah dan memohon supaya Allah memberikan petunjuk, insya-Allah dengan izinnya kita mendapat petunjukNya. Jika dia pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan kebahagiaan hidup di dunia. Setelah semuanya diusahakan, berserahlah kepadaNya dan terus berdoa. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya sementara.Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya.

 Ditulis oleh Hj Abdul Samad

Friday, November 26, 2010

Bila kita sayang orang tu



Bila kita syg org tu 
Kita tunggu dia lama pn x pe 
Tp bila dia tnggu kita???dia mrh2 
Hati kata ala, adatlah ada yang mnnunggu n ditunggu

Bila kita syg org tu 
Kita x tdo pun x pe layan dia yg tengah bosan, 
Tp bila kite bosan Ada dia layan kita? 
Hati kata x pe dia busy kott

Bila kita syg org tu 
Kita kol nak ckp ngan dia 
Tp dia bg phone kat org lain atau matikan 
Kalau dia kol kita lambat jawab, sibuk pula tanya kenapa 
Bila jadi macam tu, x pe 
Hati kata, x pe, layan je, dia busy lagi kot

Bila kita syg org tu 
Kita bercerita dgn dia,tapi sebenarnya cite ngan 
tunggul lg baik 
Tp bila dia bercerita ngan kita 
Kita dgr, sepatah2 kite kena ingt…klu x ingat kita yang kena marah 
Hati kata x pe syg katakan…

Bila kita syg org tu 
Kita sanggup bg dia rest bila dia letih, 
Tp bila kita letih, dia suruh jugak kita 
layan dia bila dia bosan 
Adil ker? Hati kata, ala bukan selalu pun..

Bila kita syg org tu 
Kita jadi cam org gila dengar dia sakit, 
Tp bila kita sakit, 
Dia siap kuar ngan kwn2 dia meraikan 
hari kesakitan kita, 
Hati kata, ala x pe, x kn dia nak 
berkepit ngan kita 24 jam

Bila kita syg org tu 
Kita x pernah pentingkan diri sendiri 
Tp dia hpokrit tahap gaban 
Hati kata x pe, dia mmg macam tu kena lah trima..

Bila kita syg org tu 
Kita syg nk tinggalkan dia selama2nya 
Tp dia x tahu kita berdepan dgn maut, 
Walaupun kita skt,dia kata kat kita,sakit 
biasa2 jer, jgn nk mengarut 
Hati kata, cmnelah dia bila kita x de, 
mesti dia hepi

Bila kita syg org tu 
Kita x snggp tngk dia derita 
Tp dia x prnh hargai diri kita, 
Hati kata, tau x btapa kita syg kan dia????

Bila kita syg org tu 
Kita snggup tngglkn dia selama2nya untk dia bhgia 
Tp adkh dia tahu pngorbanan kita?? 
Hati kata, x pe, janji dia bahagia

Dan…… 
Bila kita dh tinggalkan dia selama2nya 
Dia dtg ziarah pusara kita 
Dia kata dia mintak maaf sebab pernah mngata kita 
Dia mintak maaf sebab pernah buat kita tnggu dia 
Dia mintak maaf sebab pernah paksa kita layan dia time bosan 
Dia mintak maaf sebab pernah heboh 1 dunia salah kita 
Dia mintak maaf sebab pernah x hiraukn kol kita 
Dia mintak maaf sebab pernah x dgr luahan hati kita 
Dia mintak maaf sebab pernah bt kita klprn sbb dia 
Dia mintak maaf sebab pernah gnggu waktu rht kita 
Dia mintak maaf sebab x pernah hiraukn skt kitar 
Dia mintak maaf sebab pernah pntingkn diri dia sndri 
Dia mintak maaf sebab x prnh tngk pnderitaan kita


tq bicara.net

Berkawanlah dengan ‘penjual minyak wangi’





KAWAN mempunyai pengaruh cukup besar dalam pembentukan nilai dan perwatakan diri. Malah, kesannya boleh jadi berpanjangan, dari zaman remaja hingga ke alam dewasa.
Sekiranya pengaruh itu berunsur positif, tiada siapa menentang, tetapi bagaimana dengan pengaruh negatif? Tiada sesiapa menidakkan kesan dan pengaruh kawan sepergaulan serta sahabat seperjalanan.
Akhir-akhir ini, pengaruh dan kesan buruk cukup menonjol, misalnya merokok, melepak dan merempit.
Di sekolah, bahkan di mana-mana institusi, perbuatan seperti itu tidak diajar, tetapi bagaimana seseorang boleh tahu merokok dan mahir merempit? Bukankah ia lahir daripada kawan?
Berkawan tidaklah salah, malah dalam Islam amat digalakkan kerana menghubungkan ikatan persaudaraan. Tetapi apakah jenis kawan yang harus didekati?
Kawan yang dianjurkan ialah kawan yang baik serta ikhlas kerana Allah. Sikap Islam terhadap faktor dan peranan ini dapat dilihat dengan jelas daripada beberapa al-Quran serta hadis.
Terdapat ayat yang mengisyaratkan mengenai peranan dan pengaruh kawan, antaranya firman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Bertakwalah dan hendaklah kamu bersama-sama orang yang bersifat benar." (Surah at-Taubah: 119)
Orang yang bersifat benar ialah orang yang baik, berbudi bahasa, berakhlak dan mengamalkan budaya hidup terpuji, bukan orang jahat serta suka berdusta.
Ayat lain menceritakan, kawan yang bertakwa sebenarnya kekal dan bermanfaat, sementara kawan tidak bertakwa akan bermusuhan sesama sendiri.
Ini memang benar kerana kawan yang bertakwa mengenal Tuhan dan menjadikan Tuhan sebagai rujukan dalam semua perkara, manakala kawan tidak bertakwa lupa Tuhan serta demi kepentingan masing-masing bercakaran, walaupun sesama sendiri.
"Teman-teman pada masa itu setengah dengan setengah yang lain adalah musuh melainkan yang bertakwa." (Surah al-Zukhruf: 67)
Dalam satu ayat lagi, Allah menceritakan mengenai penyesalan orang yang bertemankan si jahat.
"Aduhai, kiranya aku tidak menjadikan si pulan itu sebagai teman, sesungguhnya dia telah menyesatkan aku dari al-Quran, selepas aku didatangi olehnya. Dan sesungguhnya syaitan mendustai manusia." (Surah al-Furqan: 28)
Kita sama-sama memohon perlindungan dan berharap supaya tidak termasuk golongan yang rugi bertemankan yang jahat sehingga mengakibatkan diri tersesat daripada landasan kebenaran.
Hadis al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari, bermaksud: "Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk."
Memang benar perumpamaan diceritakan itu. Apabila berkawan dengan orang baik, kita juga akan menjadi baik, tetapi jika berkawan dengan yang jahat, kita juga mungkin lambat laun serupa saja.
Walaupun kita tidak mengikut gelagat jahatnya, kadangkala tempiasnya terkena pada kita. Bukan sedikit orang yang berkawan dengan pencuri, juga dituduh mencuri, sedangkan dia tidak melakukannya.
Dalam sesetengah keadaan juga, kawan selalu diberikan keutamaan dan kepercayaan yang lebih berbanding ahli keluarga.
Malah, ada juga kawan yang dibela, manakala keluarga dicerca, sebagaimana penagih yang mahu menghilangkan ketagihannya. Kajian psikologi remaja amat jelas menunjukkan kebenaran ini.
Apa pun, tujuan berkawan sebenarnya untuk mendapatkan manfaat seperti bantuan dan perkongsian pengetahuan, bukan mencari keburukan. Perompak dan pencuri juga mencari kawan yang dapat memberikan faedah kepada dirinya.

creadit to bicara.net

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...